CYBERJAYA: CyberSecurity Malaysia dan SatisGuard Malaysia Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bersama-sama mengukuhkan landskap keselamatan siber di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata tujuan utama MoU itu ialah untuk membina kerjasama dalam bidang keselamatan siber dan kriptografi pascakuantum (PQC) yang dijangka menyebabkan senario ancaman siber semakin dinamik.

"Keselamatan siber bukan sekadar 'buzzword' tetapi ia aspek penting dalam keberadaan digital kita. Ancaman yang mungkin timbul daripada komputer kuantum boleh merosakkan keselamatan sistem kriptografi, membuatkan ekosistem digital menjadi mudah diserang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penandatanganan MoU berkenaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SatisGuard Wayne Wang yang disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di Cybersafe Live Gallery, Menara Cyber Axis di sini hari ini.

Amirudin berkata pihaknya bersedia memainkan peranan penting dengan menyediakan panduan dan sokongan kritikal demi memajukan inisiatif keselamatan siber di Malaysia.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun, kerjasama itu akan memberi peluang kepada CyberSecurity dan SatisGuard mencapai matlamat serta penanda aras yang ditetapkan.

Sementara itu, Wang berkata pihaknya akan menganjurkan Bengkel Quantum Safe Migration untuk pemain industri di Malaysia yang merupakan platform bagi pertukaran pengetahuan mengenai trend dan alatan PQC, menilai tahap ketahanan kuantum terhadap persekitaran semasa serta merancang pemindahan yang praktikal bagi memperkukuh keupayaan pertahanan siber.

"Hasil daripada bengkel ini akan menjadi amalan serta rujukan bagi industri lain yang ingin menilai strategi 'quantum-safe' mereka bagi memperkukuh lagi infrastruktur rangkaian di seluruh negara untuk menghadapi serangan kuantum yang akan datang," katanya.

Beliau berkata skop kerjasama dengan CyberSecurity turut merangkumi usaha kolaboratif dalam penyelidikan dan pembangunan, projek bersama 'Chelpis Quantum Safe Migration Center' di Taiwan, program peningkatan kapasiti serta proses pensijilan bagi pengesahan dan validasi PQC.

Sementara itu, Mohamad Fauzi yang juga Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia berkata memorandum berkenaan merupakan lambang kerjasama penyelarasan strategik dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan keselamatan ekosistem digital di Malaysia.

"Keperluan bagi menjaga keselamatan siber yang kukuh tidak boleh diabaikan. Ia (MoU) adalah ikrar bersama untuk melindungi landskap digital Malaysia daripada ancaman siber yang semakin berkembang seiring usaha memastikan keteguhan negara bagi menghadapi cabaran semasa," katanya.

-- BERNAMA