Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, gerak kerja penubuhan FAIX bermula pada tahun ini dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya mulai awal tahun depan.
Beliau berkata, FAIX akan mula menerima pelajar baharu bagi kemasukan tahun 2025/2026, dan pengambilan dijadualkan Oktober 2025.
"UTeM mempelopori penubuhan FAIX dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan akan terus proaktif serta bergerak ke hadapan, sekali gus menyahut seruan negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasi dan memperluas penawaran program AI dan keselamatan siber.
"Usaha ini selari dengan matlamat mengukuhkan bidang tujahan UTeM dalam bidang Pembuatan Termaju dan Teknologi Pengkomputeran melalui integrasi AI dan keselamatan siber selaras dengan visi Malaysia sebagai pemimpin teknologi serantau," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Massila berkata, FAIX berfungsi sebagai pusat kecemerlangan (CoE) bagi penyelidikan AI dan keselamatan siber di UTeM menerusi integrasi penyelidikan bersepadu untuk membantu menyelesaikan cabaran semasa industri.
Beliau berkata, kurikulum dan silibus program berkenaan dirangka dengan teliti bersama input daripada pakar industri bagi memastikan ia mencapai kerelevanan dan standard tinggi, sekali gus mampu melahirkan graduan berkelulusan AI dan keselamatan siber yang kompeten serta diperlukan pasaran kerja global.
- BERNAMA