Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Shahril Jaafar atas kesalahan membunuh Chee Gaik Yap 18 tahun lalu, menolak permohonannya untuk hukuman dikurangkan kepada penjara seumur hidup.
- Chee Gaik Yap mengalami kekerasan luar biasa, diculik, diliwat, dirogol, dan dibunuh oleh Shahril, dengan jenayah ini menggemparkan orang ramai.
- Shahril melarikan diri ke Australia selama tiga tahun untuk mengelak siasatan sebelum ditahan pada 2012 di KLIA; rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak masingmasing pada 2016 dan 2018.
Barisan panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais mengetepikan permohonan semakan semula Shahril Jaafar untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
"Kami ingin ulangi mahkamah ini mempunyai belas kasihan. Pada pandangan kami ini kes luar biasa dengan fakta yang luar biasa," kata Hakim Harmindar.
Beliau berkata si mati (Chee Gaik Yap) telah menghadapi keganasan yang luar biasa di tangan Shahril dan wanita berusia 25 tahun itu diculik, diliwat, dirogol serta dibunuh oleh Shahril.
Hakim Harmindar berkata jenayah itu menggemparkan orang ramai, dan kejadian pula berlaku pada waktu siang.
"Kami memutuskan untuk menolak permohonan Shahril dan hukuman mati dikekalkan," kata Hakim Harmindar.
Pada 2015, Shahril, 43, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas pertuduhan membunuh Chee, siswazah Universiti Utara Malaysia, berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, antara 5.30 petang pada 14 Jan dan 3.05 pagi pada 15 Jan 2006.
Dia dijatuhi hukuman mati dan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak masing-masing pada 2016 dan 2018.
Terdahulu, peguam Rosli Kamaruddin meminta mahkamah meringankan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas anak guamnya kepada penjara seumur hidup.
Beliau berkata anak guamnya yang sudah insaf, merayu mahkamah untuk memberinya peluang menebus kesalahannya, dan Sharil juga aktif menyertai program pemulihan penjara sebagai bukti komitmennya untuk bertaubat.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Dusuki Mokhtar yang dibantu oleh DPP Solehah Noratikah Ismail membantah permohonan Shahril dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati memandangkan ini ialah kes yang amat jarang sekali berlaku.
Beliau berhujah ini kes penculikan kejam, rogol, liwat dan pembunuhan seorang wanita muda yang sedang berjoging bersama adik perempuannya dan mayatnya ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran trek joging, sembilan jam kemudian.
Dusuki berkata pakar patologi forensik menemukan 50 luka pada badan Chee termasuk di sekitar bahagian sulit yang DNA Shahril dikesan.
Shahril kemudian dilaporkan melarikan diri ke Australia selama tiga tahun bagi mengelak disiasat dan ditahan. Dia akhirnya ditahan enam tahun kemudian di Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Perth pada Jan 2012.
-- BERNAMA