KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengutip lebih RM1 bilion hasil daripada produk premium yang diimport dari luar negara.

Pengarah Eksekutif TraTax, Thenesh Kannaa berkata, cukai tersebut akan turut meliputi pelbagai jenis produk import, seperti salmon dan avokado, memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu.

"Jumlah ini menunjukkan bahawa senarai barangan yang dikenakan cukai adalah jauh lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada barangan seperti avokado dan salmon semata-mata

"Oleh itu, pemantauan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan cukai dikenakan secara adil dan menyeluruh ke atas pelbagai jenis produk import, bukan hanya barangan mewah yang sering disebut," kata Thenesh.

Katanya, anggaran kutipan cukai jualan daripada barangan premium tempatan juga dijangka sekitar RM0.9 bilion.

Selain itu, Thenesh berkata, kerajaan menjangkakan penambahan lebih daripada RM2 bilion melalui perluasan cukai perkhidmatan.

Namun, perkara yang perlu diambil perhatian adalah potensi kesan cukai berganda dalam cukai perkhidmatan, kerana cukai ini tidak mempunyai mekanisme kredit input seperti cukai dividen.

"Cukai perkhidmatan khususnya memerlukan perhatian bagi memastikan ia tidak memberi beban kepada perniagaan dan pengguna akhir," tambahnya.

Belanjawan 2025 mencadangkan kerajaan menetapkan bahawa cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang menjadi keperluan harian rakyat.

Sebaliknya, fokus cukai ini akan diberikan kepada barangan bukan keperluan asas, termasuk barangan premium seperti ikan salmon, avokado dan produk mewah yang diimport.

Manakala, skop cukai perkhidmatan juga akan diperluaskan, meliputi perkhidmatan komersial antara perniagaan seperti perkhidmatan kewangan yang berasaskan yuran.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.

Belanjawan 2025: Percukaian & impak kepada pemegang taruh