Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat tidak memberi kesan kepada kerajaan Perak untuk menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2017.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata ini kerana Perak yang mempunyai pelbagai destinasi percutian menarik yang masih menjadi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa.

"Bagaimanapun jumlah cukai dan bagaimana levi akan dikenakan cukai di negeri-negeri belum diumumkan.

"Sebenarnya ini bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah dilakukan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program 'Ride' sempena TMP 2017 dan 'Aplikasi Riders App' di sini hari ini.

Cukai Pelancongan 2017 yang diluluskan pada Khamis lepas bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan ke atas mereka yang menginap di premis pelancongan di negara ini.

Cukai yang akan dikenali sebagai Cukai Pelancongan itu dirancang untuk dikenakan dan dilevikan ke atas pelancong yang menginap di mana-mana premis penginapan yang disediakan oleh pengendali pada kadar yang ditetapkan oleh menteri.

Pengendali penginapan perlu mengeluarkan invois, resit atau dokumen lain dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris kepada pelancong berkenaan penginapan yang disediakan.

-- BERNAMA