KUALA LUMPUR: Kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik, berkuat kuasa 1 Januari 2026.


Ringkasan AI
  • Kadar fi Lesen Kenderaan Motor bagi kenderaan motor tanpa pelepasan atau kenderaan elektrik ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik, berkuat kuasa 1 Januari 2026. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kadar fi baharu itu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kadar fi baharu itu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Beliau berkata, kadar fi itu akan disemak semula setiap lima tahun sekali bagi memastikan keberkesanannya untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan bebas asap dan kesannya kepada pendapatan kerajaan.

"Bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEVs adalah lebih rendah berbanding kadar fi LKM bagi kenderaan internal combustion engine (ICE) dalam lingkungan jenis badan kenderaan yang sama.

"Kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEVs dalam kategori pure battery electric vehicle (PBEV) dan fuel cell electric vehicle (FCEV) sahaja.

"Secara purata, kadar fi LKM baharu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar fi sedia ada," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa. 

Menurut Anthony, prinsip penetapan fi dibuat berdasarkan kadar blok dengan setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 Watt.

"Sebagai contoh, blok 1 adalah bagi ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik dari satu Watt hingga 100,000 Watt, blok 2 antara 100,001 hingga 210,000 Watt dan seterusnya.

[TERKINI] Cukai jalan kenderaan EV 85 peratus lebih murah

"Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minimum dan maksimum kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksimum pula adalah RM70 manakala blok 3, kadar fi minimum adalah RM305 dan maksimum pula adalah RM575.

"Bagi setiap blok, kadar kenaikan fi LKM ditetapkan secara progresif dengan setiap kenaikan 9,999 Watt akan dikenakan tambahan bayaran mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan dalam blok terbabit.

"Sebagai contoh, dalam blok dua, kadar minimum fi LKM pada kuasa motor elektrik 100,001 Watt ditetapkan pada RM80. Dengan kenaikan 9,999 Watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah pada 110,000 Watt.

"Fi LKM kuasa motor 100,001 Watt adalah RM80 dengan kadar kenaikan per blok 9,999 Watt bagi blok 2 adalah RM20. Jadi, jumlah kadar fi LKM akan dikenakan adalah bersamaan RM100.

"Sebagai contoh bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range yang berkapasiti 130 kilo Watt (kW) akan hanya dikenakan fi LKM sebanyak RM120 berbanding kadar sedia ada bernilai RM624.

"Bagi Tesla Model Y yang berkapasiti 220kW adalah RM305 sahaja berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM2,583," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mewartakan kadar fi LKM bagi segmen kenderaan berkenaan dalam tempoh terdekat.