KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baru dilantik, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz diharap dapat memberikan keutamaan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata Wan Ahmad Dahlan perlu selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan pelaksanaan perkara itu.

"Selain meningkatkan mutu perkhidmatan awam, Cuepacs berharap Wan Ahmad Dahlan mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan kerajaan, terutama melibatkan peringkat pengurusan tertinggi dan kumpulan pekerja sokongan.

"Cuepacs berharap hubungan yang baik antara pegawai tertinggi dan anggota terus dipupuk bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu beliau turut menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang. Penjawat awam perlu menunjukkan profesionalisme melalui sikap dan tindakan yang mencerminkan integriti, kecekapan, dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat," katanya.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Wan Ahmad Dahlan berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

-- BERNAMA