PUTRAJAYA: Orang ramai diminta tidak khuatir dengan cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini kerana situasi itu sentiasa dipantau rapat Kementerian Kesihatan (KKM), kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata KKM juga akan membuat pengumuman berkaitan penutupan sekolah jika terdapat keperluan berbuat demikian berdasarkan penelitian daripada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

"Jangan khuatir, sejurus ada situasi seperti itu (menutup sekolah), (kita) segera buat pengumuman," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan menutup sekolah ekoran keadaan cuaca yang panas sejak kebelakangan, dan semalam Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata cuaca panas susulan fenomena El Nino di negara ini dijangka berterusan hingga Julai.

Dr Dzulkefly berkata prosedur operasi standard (SOP) berhubung cuaca panas sedia ada termasuk nasihat mengurangkan aktiviti luar di sekolah masih kekal, dengan Kementerian Pendidikan termasuk guru besar digesa tidak membenarkan pelajar menjalankan aktviti luar jika suhu kekal 35 darjah Celsius tiga hari berturut-turut sebagai langkah pencegahan.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata rancangan bagi menangani isu kekurangan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di hospital daerah akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Malam ini (ada) mesyuarat tergempar dengan pengurusan tinggi KKM untuk tangani perkara ini (dan) sehari dua nanti akan umum rancangan pelaksanaan," katanya.

Pada majlis hari ini Dr Dzulkefly turut melancarkan Pelan Strategik Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) 2024-2028 dalam mentransformasikan agensi itu ke arah operasi regulatori bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata pelan itu mencerminkan keazaman MDA untuk berada di barisan hadapan bagi kawalan mutu, jaminan keselamatan dan kawal selia industri.

-- BERNAMA