Pakar Perubatan Forensik Dr Ain Nurfarhana Hamdan, 35, berkata sekiranya CPR yang dilakukan mengakibatkan kecederaan, ia memberi kesan lebam pada bahagian tengah dada, kantung jantung atau patah tulang rusuk bahagian hadapan.
Beliau turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian dada, patah tulang rusuk, pengumpulan darah pada rongga dada, lebam dan koyak pada paru-paru serta kecederaan pada abdomen.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi yang memasuki hari ke-12.
Terdahulu, terdapat keterangan saksi bahawa CPR telah dilakukan oleh dua Pembantu Perubatan dan kakak Muhammad Zaharif Affendi, Nur Zawanie, 29, yang tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada tubuh mangsa.
Kepada soalan peguam M. Athimulan sama ada saksi menjalankan pemeriksaan sinar X pada dada dan abdomen mangsa semasa autopsi dilakukan, beliau memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak melakukannya.
Saksi itu juga berkata beliau ke lokasi kejadian untuk membantu polis menandakan bahagian kecederaan pada badan mangsa.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Dis 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Afzainizam dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri turut diwakili peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA