SIBU:Penularan pandemik COVID-19 telah mencapai tahap membimbangkan di Sibu.

Malah, menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr Annuar Rapaee, penularan COVID-19 berikutan kemunculan Kluster Pasai bulan lalu tidak lagi terbatas kepada 58 rumah panjang yang terjejas.

"Melihat jumlah kes baharu pada masa ini, 27 peratus adalah daripada kluster itu manakala 70 peratus lagi datang dari kawasan bandar," katanya pada Ahad.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata demikian semasa ceramah yang disiarkan secara langsung di Facebook, dihoskan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chua Hock Hin turut menyertai ceramah tersebut.

Dr Chua berkata penyebaran penyakit itu di bandar Sibu adalah nyata, oleh itu semua orang perlu memainkan peranan untuk membendung penyebaran virus maut itu.

Beliau kecewa kerana ramai yang tidak hairan untuk melakukan ujian calitan (swab test) apabila mereka mengalami simptom COVID-19 seperti demam ringan, hidung berair dan sakit tekak.

"Apabila mereka datang ke hospital, mereka umumnya sangat sakit dan telah melakukan kesilapan kerana mereka sudah menyebarkan penyakit ini kepada orang lain," katanya.

Justeru beliau menggesa orang ramai untuk menjalani ujian calitan sebaik sahaja mempunyai gejala agar dapat dirawat lebih awal.

"Sementara menunggu keputusan ujian swab, mereka tidak boleh bergaul dengan orang lain untuk mengelakkan mereka daripada menyebarkan penyakit," katanya.

Dr Chua menegaskan orang ramai perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di Sibu dan mengikuti dengan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memerangi penularan penyakit itu.

"Lakukannya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk ibu bapa, anak-anak dan pasangan anda," tegasnya.

Ceramah itu yang mendapat lebih 200 tontonan, diadakan ketika masyarakat Cina sibuk membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baharu yang diraikan pada 12 Feb.

Ting yang bimbang dengan trend peningkatan kes COVID-19 di Sibu telah meminta masyarakat untuk membatalkan perjumpaan keluarga pada tahun ini.

Sehingga semalam, Sibu mencatatkan 101 kes positif COVID-19 iaitu 32 kes adalah dari Kluster Pasai, 30 daripada pengesanan kes aktif, lima daripada saringan gejala, manakala 34 daripada ujian swab yang dilakukan di kemudahan kesihatan di Sibu.

"Selepas Tahun Baharu Cina mungkin terdapat 200 kes baharu setiap hari," kata Ting, sambil menambah bahawa beliau khuatir selepas mengetahui 45 pekerja kesihatan telah dijangkiti.

Beliau berkata semua orang mesti mengambil tanggungjawab peribadi untuk memerangi virus maut itu.

"Kes di bandar lain juga meningkat tetapi tidak seperti di Sibu. Ia tidak akan hilang jika kita tidak mengambil tanggungjawab peribadi untuk mencegahnya," tegas beliau.

-- BERNAMA