Dengan hasrat membantu menguatkan moral dan emosi petugas barisan hadapan beragama Islam dalam memerangi COVID-19, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, tampil menyumbangkan sebanyak 1,500 naskhah al-Quran.

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Noor Mazlina Noor Shah, berkata semua al-Quran terbabit akan diedarkan kepada beberapa hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin di Perak.

Katanya, selain petugas, al-Quran terbabit juga boleh digunakan oleh pesakit atau mereka yang dimasukkan ke fasiliti perubatan terbabit untuk pemantauan atau kuarantin.

Beliau yang juga Penyelaras Rumah Ngaji Perak, berkata sumbangan mereka mungkin berbeza daripada pihak lain disebabkan latar belakang serta aktiviti pertubuhan berkenaan.

"Banyak pihak tampil menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE), namun kami tidak dapat menghasilkannya, tetapi kami menyedari sumbangan al-Quran ini juga boleh menjadi salah satu penenang hati dan menguatkan jati diri petugas Islam ketika menghadapi suasana tekanan.

"Sumbangan ini adalah hasil wakaf daripada orang ramai di seluruh Malaysia. Dalam keadaan getir dihadapi oleh petugas barisan hadapan, malah pesakit sendiri, kepada Allah kita bergantung harap dan berdoa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program penyerahan sumbangan wakaf al-Quran itu oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga penaung Rumah Ngaji Perak, kepada Jabatan Kesihatan negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr Norisah Mahat Nor.

Dalam pada itu, Dr Norisah berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada beberapa pihak termasuk Hospital Raja Permairusi Bainun Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Hospital Sri Manjung, Jabatan Kesihatan dan pusat kuarantin di negeri ini.