Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TVS Suhaimi Sulaiman, ia sama sekali tidak mematahkan semangat kesemua staf mereka untuk memastikan berita dan penerbitan program diteruskan.
Lebih menarik, ikon penyiaran itu mengesahkan beliau sendiri menyertai penyampai berita dan wartawan TVS untuk bersiaran terus daripada rumah, dan lokasi lain.
“Memandangkan hampir kesemua staf TVS perlu bekerja daripada rumah, berita akan disampaikan pada jam 8 malam ini daripada rumah wartawan-wartawan penyiaran TVS menggunakan teknologi terkini.
“Antara mereka yang akan menyampaikan berita malam ini - Steward Dawi, Priscilla John, Nor Suhaida, Connie Grace, dan ramai lagi. Turut menyampaikan berita adalah Khairil Zharif Affindie yang disahkan positif COVID-19,” kata TVS dalam satu kenyataan hari ini.
Khairil Zharif, menurut pihak pengurusan TVS lagi, akan turut bersiaran secara langsung dari pusat kuarantin khas.
“COVID-19 bukan alasan untuk kita tidak berkarya. Penonton mahukan berita yang terkini. Kita perlu jadi penyiar yang kreatif menggunakan cara terbaik untuk bersiaran dan berfikir secara lateral (dalam) menyelesaikan masalah,” katanya lagi.