KUALA LUMPUR:Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Kota Kinabalu terpaksa ditutup sementara mulai hari ini selepas seorang kakitangan di cawangan tersebut disahkan positif COVID-19.

Menurut Puspakom dalam satu kenyataan, kakitangan tersebut kini sedang menerima rawatan dan menjalani kuarantin di sebuah hospital kerajaan.

Jelasnya, proses pengesanan kontak rapat sedang dijalankan dan semua kakitangan di cawangan tersebut akan menjalani ujian saringan COVID-19.

Sementara itu, mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit telah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Puspakom mengambil langkah menutup Puspakom Kota Kinabalu serta merta berkuat kuasa hari ini 21 November, untuk melakukan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh.

"Pembukaan semula Puspakom Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak.

"Pihak kami akan mendapatkan nasihat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh Puspakom Kota Kinabalu ditutup," demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

Sehubungan itu, Puspakom memaklumkan, pembayaran tempahan pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik kepada pelanggan yang mempunyai janji temu di cawangan tersebut.

Kakitangan tersebut kini sedang menerima rawatan dan menjalani kuarantin di sebuah hospital kerajaan