PUTRAJAYA: Jangkitan COVID-19 merupakan punca utama kematian di Malaysia pada 2021 dengan 31,063 kes direkodkan daripada keseluruhan 157,251 kematian yang disahkan secara perubatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata penyakit jantung iskemik adalah punca kematian kedua tertinggi dengan 13.7 peratus diikuti Pneumonia (11.1 peratus), penyakit serebrovaskular (6.5 peratus) dan kemalangan pengangkutan (1.9 peratus).

"Jangkitan COVID-19 adalah punca utama kematian bagi lelaki dan wanita dengan masing-masing mencatatkan 17,708 dan 13,355 kematian," kata DOSM dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan DOSM itu, punca kematian bagi kumpulan etnik utama di Malaysia pada 2021 juga adalah akibat jangkitan COVID-19 dengan Melayu menyumbang 17.9 peratus, bumiputera lain (18.5 peratus), Cina (16.3 peratus) dan India (19.5 peratus).

Menurut jabatan itu, semua kumpulan umur merekodkan jangkitan COVID-19 sebagai punca utama kematian kecuali kumpulan umur 0-14 tahun yang mencatatkan punca utama kematian adalah disebabkan kemalangan pengangkutan.

"Sembilan negeri merekodkan jangkitan COVID-19 sebagai punca utama kematian pada 2021 kecuali Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu. Negeri-negeri ini melaporkan penyakit jantung iskemik sebagai punca utama kematian.

"Sementara itu, hanya Putrajaya merekodkan pneumonia sebagai punca utama kematian dengan 12.4 peratus," menurut DOSM.

-- BERNAMA