KUALA LUMPUR: Berdasar kajian awal, pengambilan suntikan dua dos vaksin COVID-19 yang berbeza mampu membawa lebih banyak kebaikan selain berupaya melawan banyak varian. 

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman memberitahu, data-data awal di luar negara mengenai keberkesanan gabungan dua vaksin yang berbeza membuktikan peningkatan kadar antibodi yang tinggi selain risikonya yang rendah.

Malah beliau turut mengambil contoh di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, bayi diwajibkan menerima suntikan vaksin seperti Bacillus Calmette-Guerin (BCG) dan Hepatitis B, dimana kedua-dua vaksin itu adalah daripada jenis yang berbeza.

"Saya lebih cenderung kepada keputusan yang memberikan kebaikan jauh lebih banyak kepada rakyat. Pada masa yang sama campuran AstraZeneca dan Pfizer dilihat dapat mengurangkan penggumpalan darah.

"Kajian awal yang dijalankan di United Kingdom (UK) dan Sepanyol menunjukkan, apabila kedua-dua dos dicampurkan, antibodi semakin tinggi serta memberi perlindungan yang tinggi kepada varian-varian baharu," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

COVID-19 | Risiko dan manfaat campuran dua vaksin


Justeru Dr Malina menjelaskan, hasil daripada data-data awal menunjukkan konsep mix and match itu terbukti berkesan dengan komplikasi yang rendah.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji penggunaan gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech.

Menurutnya, cadangan itu sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dua minggu lalu.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo,   bagaimanapun mengesyorkan supaya pemberian dua dos vaksin perlu melibatkan jenis yang sama buat masa ini memandangkan kajian masih lagi dijalankan.