KUALA LUMPUR: Pemberian suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela bermula hari ini di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang.

Ia bakal melibatkan pemberian 268,000 dos vaksin AstraZeneca kepada penerima.

Pemerhatian Astro AWANI di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) mendapati kira-kira 200 penerima mula menunggu di hadapan pintu masuk seawal jam 8 pagi.

Tepat jam 9.10 pagi, penerima dibenarkan memasuki PPV mengikut jadual yang ditetapkan.

Pergerakan setiap penerima dipantau anggota keselamatan dan petugas WTC bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

[TERKINI] Hari pertama vaksinasi AstraZeneca


Setiap penerima perlu menunjukkan pendaftaran vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera sebelum saringan suhu dibuat.

Mereka kemudiannya akan mendapatkan konsultasi mengenai tahap kesihatan dan alahan ubat sebelum vaksin diberikan.

Selepas selesai menerima vaksin, penerima akan ditempatkan di ruangan khas untuk dipantau di antara 30 hingga 45 minit sebelum dibenarkan pulang.

Kira-kira 1,200 hingga 2,400 dos vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada penerima di WTC dengan jumlah keseluruhan 175,000 dos bermula hari ini hingga 5 Jun depan.

Hari pertama AstraZeneca, bantu yakin kepada vaksin