Keutamaan yang paling genting adalah memastikan semua tempat kerja selamat dari penularan kes COVID-19 yang baru, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menjelaskan, majikan perlu memastikan semua langkah telah diambil sebelum syarikat kembali memulakan operasi pada Isnin.

Katanya, majikan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Majikan perlu memastikan penjarakan sosial berlaku, dengan cara tidak semua kakitangan perlu dibenarkan bekerja dari rumah sehingga COVID-19 ini tamat.

"Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di semua syarikat perlu memastikan semua langkah diambil sebelum pekerja kembali bertugas.

"Memastikan pematuhan terhadap semua SOP di tempat kerja dan mengenal pasti penyelesaian serta merancang ciri keselamatan dan prosedur kerja yang selamat bersesuaian dengan normal baru.

"Memastikan peralatan perlindungan diri mencukupi untuk semua pekerja dan mempromosi literasi dan kesedaran kesihatan mental serta mendidik mereka menangani semua masalah kesihatan mental," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan usaha memerangi COVID-19 belum berakhir dan semua pihak tidak boleh leka dalam pertempuran ini.

Katanya, apa yang diperlukan dalam memerangi COVID-19 ialah daya upaya semua pihak termasuk majikan dan pekerja yang perlu mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan diri pada setiap saat.