KUALA LUMPUR: Kes positif baharu COVID-19 turun di bawah 15,000 apabila sebanyak 13,336 kes dicatatkan pada Isnin menjadikan kumulatif kes di negara ini sebanyak 4,152,203 kes setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam itu, sebanyak 13,225 kes atau 99.17 peratus dalam kategori satu dan dua.

"Sebanyak 6,885 kes atau 51.63 peratus adalah dalam kategori satu dan 6,340 kes (47.54 peratus) dalam kategori dua," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

COVID-19 | Kes harian menurun kepada 13,336 kes


Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 111 kes atau 0.83 peratus daripada jumlah 13,336 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, sebanyak 43 kes atau 0.32 peratus daripada kes baharu itu dalam kategori tiga, 32 kes (0.24 peratus) kategori empat dan 36 kes (0.27 peratus) kategori lima.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 25,552 kes sembuh COVID-19 dicatatkan semalam iaitu hampir dua kali ganda berbanding jumlah kes positif baharu yang dicatatkan pada hari sama.

Sementara itu, beliau berkata hanya dua negeri mencatatkan peratusan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus semalam iaitu Selangor (55 peratus) dan Johor (52 peratus).

Katanya, empat negeri mencatatkan peratusan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (87 peratus), Selangor (68 peratus), Kuala Lumpur (53 peratus) dan Melaka (51 peratus).

Menurut Dr Noor Hisham, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara semalam ialah 0.92.

Katanya, hanya Selangor mencatatkan kadar Rt melebihi satu iaitu 1.08 manakala Rt terendah direkodkan Sabah iaitu 0.65.

-- BERNAMA