Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan masyarakat agar tidak panik dan cepat menyerah kalah dalam berdepan dengan pandemik COVID-19.

Jelas beliau, selain meletakkan kepercayaan kepada petugas barisan hadapan, masyarakat dan ketua keluarga perlu memain peranan penting dalam menasihati anggota masing-masing supaya mengamalkan kebersihan.

“Saya faham saudara-saudari agak bimbang apabila sektor-sektor ekonomi kita mula dibuka. Ramai yang akan keluar rumah untuk bekerja.

“Mereka akan berada di mana-mana. Di jalan raya, di stesen LRT, di stesen minyak, di dalam bas, di dalam Grab, di restoran, di pasaraya dan di tempat-tempat lain.

“Virus COVID-19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga. Apapun kita jangan panik dan jangan mengalah.

“Saya yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan kita untuk menjalankan tugas mereka membendung wabak ini,” katanya dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, hari ini.


Terdahulu, Perdana Menteri dalam perutusan tersebut memaklumkan hampir semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei ini.