Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, Malaysia juga akan turut memperluas kerjasama ekonomi ASEAN dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan yang lebih terangkum dan lestari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi hantaran di laman X selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Dr Ngozi Okonjo-Iweala hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sementara itu, Anwar turut menegaskan semula pendirian Malaysia yang menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang adil dan saksama terutama bagi negara-negara sedang membangun.
"Ini penting bagi memastikan WTO kekal relevan dalam situasi geopolitik semasa terutamanya bagi menangani mekanisme unilateral," kata beliau.
Perdana Menteri berkata keahlian Malaysia dalam WTO yang mengutamakan prinsip ketelusan dan menolak diskriminasi turut menyumbang dalam peningkatan keyakinan dan pelaburan langsung asing negara.
-- BERNAMA