Beliau berkata Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mendunia sejajar kepengerusian ASEAN dan agenda itu wajar disambut seluruh rakyat untuk menggalas cabaran dalam segenap aspek.
"Malaysia telah semakin meningkat martabat, harkat dan darjatnya di persada antarabangsa. Di bawah kerangka Malaysia MADANI, aspirasi membina tamadun yang hebat telah mula membuahkan hasil yang boleh diukur melalui pengukuhan kemampanan ekonomi, imej antarabangsa yang meningkat serta kestabilan sosio-politik domestik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata selain itu, ketokohan Perdana Menteri sebagai pemimpin dunia berwibawa, berani dan mempunyai prinsip dan ketegasan dalam pelbagai isu antarabangsa, juga bakal menyaksikan ASEAN dan Asia mempunyai seorang pemimpin yang dihormati dan disegani.
"Inilah kebangkitan Malaysia. Inilah kebangkitan Asia," katanya.
Khairil Hilmi berkata perkhidmatan awam juga harus memperkemas keupayaan, agar menjadi nadi jentera kerajaan bertaraf dunia selain sektor ekonomi, perdagangan dan perusahaan di negara ini harus merebut peluang menjadi peneraju dan pelopor dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata para belia juga harus mampu meletakkan diri mereka di tempat yang tinggi khususnya dalam penguasaan sains, teknologi, budaya dan keterampilan.
"Seluruh rakyat Malaysia juga harus memperkukuh jati diri, menjunjung tatakelola baik, menguasai ilmu baharu dan menjadi contoh kepada rakyat negara lain, bahawa kita insan hebat yang menghuni sebuah negara bermartabat tinggi bernama Malaysia," katanya.
Selain itu, beliau berkata perpaduan dalam kepelbagaian yang membentuk dan memperkuat Malaysia adalah cerminan kepada rantau Asia Tenggara, yang sangat majmuk sifatnya.
Khairil Hilmi berkata biar pun ada jurang perbezaan, namun kesepakatan yang membentuk ASEAN membolehkannya menjadi suatu pertubuhan serantau yang dapat berfungsi dengan baik dan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya.
"ASEAN telah membuktikan apabila perpaduan dengan toleransi matang dapat dibentuk, ia memberikan manfaat dan rahmat yang besar kepada semua pihak. Malaysia, seperti ASEAN mampu menjadi hebat kerana ahli-ahlinya saling lengkap melengkapi dan membentuk kekuatan unik disebalik kerencaman perbezaan.
"Perbezaan itu tidak menjadi pemisah, malah menjadi kekuatan apabila setiap pihak mampu melihat ada kebaikan besar yang mampu di raih. Inilah yang dimaksudkan bahawa Malaysia itu cerminan ASEAN - apabila bersepakat, bernaung bersama, memelihara keharmonian, hormat menghormati dan saling lengkap melengkapi maka sudah pasti banyak manfaat yang dapat diraih," katanya.
Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN semasa majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan hari ini.
-- BERNAMA