Diterajui oleh Dewan Perniagaan Malaysia Kemboja (MBCC), badan pusat yang baru dilancarkan itu terdiri daripada Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Ia diumumkan pada Sidang Kemuncak Dewan Perniagaan Malaysia ASEAN bertemakan “2024 Review & 2025 Outlook” di Phnom Penh minggu lepas.
Cawangan ASEAN ini bertujuan memudahkan perniagaan Malaysia menjalankan perniagaan dan perdagangan rentas sempadan dalam blok perdagangan 10 anggota yang dinamik, yang sedang muncul sebagai kuasa besar perdagangan dan pelaburan dunia.
Presiden MBCC, Tan Khee Meng berkata, kerjasama serantau ini akan membuka peluang perdagangan yang lebih luas dalam kalangan anggota ASEAN.
“Penubuhan MBCs ASEAN bukan sekadar perubahan nama tetapi satu transformasi - bukti kekuatan kerjasama kami.
“Bersama-sama, kita membina jambatan perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya, memperkukuh imej Malaysia serta memupuk kemakmuran serantau,” kata Tan.
Penubuhan MBCs di ASEAN berlaku pada masa yang penting ketika kerajaan Kemboja, Laos, dan Vietnam menggalakkan pelabur asing untuk meneroka peluang ekonomi.
Perancang ekonomi di rantau ini memerlukan modal untuk menyokong ekonomi domestik mereka untuk mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas sektor pembuatan, beralih ke tenaga hijau, membangunkan sektor pertanian, dan meningkatkan infrastruktur untuk menangani isu perubahan iklim.
“Kami berharap MBCC dan MBCs ASEAN akan bertindak sebagai duta, menarik lebih ramai pelabur Malaysia ke rantau ini. Kemboja menawarkan peluang yang luas dan kami berharap dapat membina perkongsian ekonomi yang lebih kukuh dengan Malaysia,” kata Chea Vuthy, Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Kemboja bagi Majlis Pembangunan Kemboja (CDC).
Menurut CDC, pelabur Malaysia telah melabur kira-kira RM195 juta (AS$44 juta) dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Shaharuddin Onn dalam ucaptamanya berkata, inisiatif MBCC akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Perhimpunan ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi dewan perniagaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi di seluruh ASEAN. Ia menunjukkan bagaimana kerjasama dan tujuan bersama boleh meningkatkan kemakmuran serantau.” - BERNAMA