JOHOR BAHRU:Seramai 54 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau sedang menjalani kuarantin di rumah sejak 27 Januari lalu hingga 4 Februari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, tindakan tersebut dilakukan susulan seorang anggota balai terbabit positif COVID-19 akibat jangkitan dari luar.

Menurut beliau, kes positif pandemik itu dikesan pada 27 Januari lalu.

"Selepas anggota terbabit disahkan positif, kesemua 54 pegawai dan anggota BBP Tebrau menjalani ujian saringan dan dipakaikan gelang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalani kuarantin di rumah.

"BBP Tebrau telah disanitasi pada hari yang sama dan masih beroperasi dengan menempatkan anggota dari balai berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.




Menurut Yahaya, pihaknya menerusi Persatuan Sukan dan Kebajikan Zon Satu dan Persatuan Sukan dan Kebajikan JBPM negeri telah menghulurkan bantuan asas kepada pegawai dan anggota yang dikuarantin.

"Pek bantuan berupa makanan asas itu telah diedarkan kepada semua pegawai dan anggota BBP Tebrau yang menjalani kuarantin di rumah," katanya lagi.

Selain BBP Tebrau, pada 27 November lalu, BBP Johor Jaya turut disanitasi manakala semua anggota diarahkan menjalani kuarantin di rumah susulan seorang anggota balai berbabit positif COVID-19 yang mendapat jangkitan daripada ibu mentuanya yang tinggal bersamanya daripada Kluster Kobena.