WASHINGTON: Lebih 12 pegawai yang terlibat dalam penyiasatan jenayah ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dipecat baru-baru ini.

Menurut sumber yang rapat dengan insiden tersebut, pemecatan diumumkan menerusi surat daripada pemangku peguam negara, James McHenry.

Antara lain, surat itu menyebut, pegawai-pegawai yang dipecat itu tidak boleh ‘dipercayai’ untuk melaksanakan agenda Trump.

Tindakan itu menyusul ketika pentadbiran Trump mengambil langkah tegas untuk menyiasat Pendakwa Raya yang mengetuai kes jenayah terhadap peserta rusuhan Capitol pada 6 Januari, susulan janji Trump untuk membalas dendam sebagai sebahagian daripada kempen beliau.

Ed Martin, pemangku peguam AS di Washington telah melancarkan siasatan terhadap pendakwa yang menggunakan Akta 1512(c) untuk mendakwa perusuh, yang kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Agung pada musim panas lalu.

Dalam memo yang dikeluarkan pada Isnin, Martin mengarahkan pendakwa untuk menyerahkan semua dokumen, fail, nota, emel dan maklumat berkaitan kepada dua pendakwa jabatan tersebut, yang perlu menyediakan laporan penuh menjelang Jumaat.

Menurut memo tersebut, penggunaan Akta 1512 ini adalah kegagalan besar pejabat peguam dan keputusan Mahkamah Agung memerlukan siasatan.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pendakwa yang terlibat dalam kes rusuhan Capitol, dengan beberapa individu kini mendapatkan khidmat peguam bagi mempertahankan diri.

Seorang pegawai kanan pentadbiran yang rapat dengan memo Martin menyifatkan siasatan itu sebagai ‘misi pencarian fakta’ dan menegaskan ia bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam keputusan pendakwaan terdahulu.