KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 34 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,310 orang, daripada 3.17 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 12 daripada 34 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 243,342 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 230,491 individu atau 94.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,414 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 7,199 kes dirawat di hospital dan 238 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 108 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 130 lagi memerlukan mesin ventilator.