KUALA LUMPUR : Angka kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu mencatat sejumlah 22,948 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik melanda negara ini adalah sebanyak 1,489,460 kes.

Ini juga merupakan jumlah kes harian tertinggi yang pernah dilaporkan setakat ini.

Pada semalam (Rabu, 18 Ogos), negara mencatatkan sejumlah 22,242 kes jangkitan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi akaun rasmi Twitternya, Selangor merekodkan sejumlah 7,175 kes harian diikuti Sabah, 2,583 kes, Kedah (2,137 kes) dan Pulau Pinang sebanyak 1,655 kes.


"Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 255,534," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 178 lagi kes kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ialah 13,480.

Individu yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) seluruh negara pula seramai 1,060 orang, daripada jumlah itu, 528 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh hari ini dilaporkan sebanyak 21,720 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 1,220,446 kes.