KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,133 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,083,683 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini, sebanyak 21,987 atau 99.34 peratus adalah kategori 1 dan 2 manakala selebihnya kategori 3,4 dan 5.


Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 24 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.


Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,149 orang, daripada 3.04 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 11 daripada 24 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.