KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 17,476 kes baharu COVID-19 pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 17,312 kes adalah kes jangkitan tempatan, manakala 164 kes adalah kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbarnya pada Sabtu, 17,365 kes (99.37 peratus) adalah Kategori 1 dan 2 manakala 111 kes (0.63 peratus) adalah kategori 3,4 dan 5.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak berkenaan meningkat kepada 4.219 juta kes.

Sebanyak 263 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 162 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula adalah 17,321 kes.

Semalam juga, enam lagi kluster baharu direkodkan, dengan 194 kluster masih aktif.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau RO) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.87, dengan Selangor mencatatkan bacaan tertinggi pada 1.07.