Grab sedia membantu memberikan semua maklumat yang diperlukan dalam siasatan kes melibatkan seorang pemandunya di Sabah yang dilaporkan hilang dan kemudian mayatnya ditemukan di Tuaran pada Isnin lalu.

"Sebaik sahaja perkara itu dilaporkan, Grab berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu siasatan mereka. Ini termasuk gambar suspek dan maklumat yang diperlukan dari ciri pengesahan swafoto penumpang kami yang dibangunkan dalam aplikasi Grab," menurut kenyataan media yang dikeluarkan Grab pada Rabu.

Grab percaya, teknologi tersebut telah menunjukkan impak ketara dalam siasatan PDRM yang berjaya membawa kepada penangkapan dua suspek dalam kes itu.

"Keutamaan kami (Grab) adalah sentiasa melindungi keselamatan komuniti kami. Walaupun kami berusaha untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dalam perkhidmatan kami, malangnya masih ada individu yang mempunyai niat berbahaya atau berniat jahat.

"Walau bagaimanapun, kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk meminimumkan risiko insiden keselamatan bagi kedua-dua pemandu dan penumpang kami," kata kenyataan tersebut.

Malah, Grab juga memberitahu bahawa pihaknya akan terus memperkukuh sistem keselamatan dalam perkhidmatannya menerusi naik taraf teknologinya.

"Kami akan terus membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi, kesedaran komuniti dan program pendidikan.

"Pada masa ini, kami mempunyai pelbagai peralatan seperti butang kecemasan dan ciri 'Share My Ride' (kongsi perjalanan) di mana kedua-dua pihak dapat berkongsi butiran perjalanan dan lokasi GPS secara langsung dengan rakan-rakan atau orang tersayang, selain pengesahan swafoto penumpang yang dilancarkan baru-baru ini,” ujarnya.

Katanya, teknologi pengesahan swafoto penumpang yang dilancarkan baru-baru ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 30% dan ia dilancarkan sebagai keperluan untuk semua pengguna baru.

“Kami menjangkakan ini akan bertambah baik apabila kami memperkenalkan keperluan ini kepada lebih ramai pengguna di platform kami.

“Melalui langkah-langkah proaktif, kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti PDRM untuk mengurangkan kadar insiden di platform kami dan dalam komuniti. Kami sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu dalam keadaan kecemasan, termasuk berkongsi maklumat yang relevan dengan pihak berkuasa, membantu mempercepat penyiasatan sebaik mungkin.

“Bagi pihak PDRM dan Grab, kami meminta semua orang supaya tidak berkongsi maklumat peribadi mangsa di media sosial. Kami ingin menghormati privasi keluarga semasa masa sukar ini,” tambah kenyataan itu lagi.


BACA: Pemandu Grab dibunuh, mayat ditemui dalam semak

Polis Sabah pada Selasa melaporkan pihaknya berjaya menahan dua penumpang terakhir yang menggunakan perkhidmatan Grab mangsa dengan identiti mereka dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

Kedua-dua suspek, berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan di kawasan 1Borneo, Kota Kinabalu pada jam 9.50 malam Selasa.