KUALA LUMPUR: China yang merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, merupakan rakan kongsi penting dalam pembangunan telekomunikasi dan ekonomi digital di Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kedua-dua Malaysia dan China mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dalam telekomunikasi dan ekonomi digital, membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dan mencipta peluang baharu untuk perniagaan dan pengguna.

"Pameran Perdagangan dan Kebudayaan Industri Pintar China (CSITE) 2024 yang keempat ini menjadi bukti hubungan teguh antara Malaysia dan China... Kedua-dua negara berkongsi sejarah yang panjang dalam kerjasama teknologi dan pameran ini menyediakan peluang berharga untuk mengukuhkan lagi hubungan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) kerana menganjurkan pameran yang begitu menarik, membawa peserta dari AI (Kecerdasan Buatan) dan industri berkaitan ke Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor," katanya.

Teo berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan CSITE 2024 di sini hari ini, di mana ia turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden PUCM Datuk Keith Li.

Pameran dua hari yang bermula hari ini mengumpulkan hampir 100 syarikat dari Malaysia, China, dan Singapura, meliputi bidang seperti teknologi pintar, industri, budaya, dan pendidikan.

Menurut Teo, sejak 15 tahun lalu, China menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, dan berdasarkan data daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, jumlah perdagangan antara Malaysia dan China meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun setakat Mac tahun ini, mencecah RM112 bilion.

Teo turut menyatakan harapannya agar pameran itu akan menjadi acara penting, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan China.

"Bersama, marilah kita bergerak ke hadapan dengan berganding bahu untuk mencipta masa depan yang lebih cerah!," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian CSITE 2024, Teo yang juga Ketua Wanita DAP berkata mereka bersolidariti bersama Naib Pengerusi Kebangsaan parti itu Teresa Kok Suh Sim yang menerima ugutan bunuh, dengan berharap pelakunya segera diberkas.

Semalam, polis mengesahkan telah menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh itu berhubung sampul surat mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru diterimanya, Sabtu lepas dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA