KUCHING: China akan terus menjadi rakan dagang utama Sarawak pada tahun-tahun mendatang, terutama dalam membantu negeri itu mencapai status negara maju pada tahun 2030.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan bilateral yang wujud di antara kedua-dua pihak sebelum ini telah menyumbang kukuh kepada ekonomi Sarawak.

"Pada 2021, nilai dagang di antara Sarawak dan China adalah sebanyak RM27.045 bilion.

"Eksport Sarawak ke China adalah sebanyak RM18.633 bilion, dan kebanyakannya adalah berasaskan komoditi termasuk LNG, minyak dan mineral," kata Abang Johari.

Import Sarawak ke China pula, katanya, hanya sekitar RM8.4 billion, dan perbezaan ketara ini disebabkan jumlah populasi Sarawak yang kecil.

Pun begitu, dedahnya, kemajuan teknologi kejuruteraan, telah membolehkan syarikat-syarikat China kini diberi peranan penting dalam menjayakan pelbagai projek mega di Sarawak.

"Sebenarnya banyak projek infrastruktur di Sarawak kini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat China.

"Malah projek jambatan terpanjang Batang Lupar, Sarawak telah bekerjasama dengan syarikat China," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-48 Persatuan Perniagaan Import Eksport Kuching China di Kuching. 

Turut hadir duta khas kerajaan Malaysia ke China dan Asia Timur, Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

China merupakan rakan dagang terbesar Sarawak, dan pada tahun lalu jumlahnya merangkumi 23.9 peratus daripada keseluruhan import eksportnya.