KAMPUNG Kemubu tidak seceria dahulu. Segalanya kelam, seperti sudah pudar warna kehidupan seluruh kampung itu. Setibanya kami ke kampung itu, suasananya seakan sebuah petempatan yang tidak berpenghuni. Kampung yang kelam itu bertambah kelam dengan langit ketika itu mendung dan hujan renyai.

Azan Maghrib berkumandang memecah senja yang sepi. Ketika itulah baru kelihatan kelibat manusia -- seorang demi seorang muncul di jalanan menuju ke masjid di tengah kampung. Ada yang berjalan kaki, ada juga yang datang menaiki motosikal.

Namun angkanya tidak ramai, hanya sekitar 30 orang jemaah muslimin dan beberapa orang jemaah muslimat -- cukup tiga saf penuh.

Selesai solat Maghrib, ada yang beransur pulang dan tidak kurang juga yang masih bersanggar di masjid, berbual sementara menunggu waktu Isyak.

"Kami rajin berkunjung ke rumah jiran tetangga. Selalunya kami akan silih berganti ke rumah penduduk kampung membaca surah Yassin selain bersanggar di masjid untuk sembahyang jemaah," kata salah seorang jemaah.




Sebelum ini, suasana kampung itu tidak ubah seperti sebuah keluarga besar. Penduduk tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak selalu menjalani aktiviti harian secara bersama. Namun musibah musim tengkujuh 2014 mengubah segala-galanya.

Mereka kini kurang keluar rumah, kurang berjumpa sesama sendiri, kurang berbual, apatah lagi bergelak ketawa. Masing-masing lebih gemar membuat hal masing-masing. Bertegur pun sekadar untuk masa yang singkat.
"Hanya dalam 30 buah daripada lebih 400 buah rumah yang ada
di kampung ini tidak tenggelam, bayangkanlah," kata Mustafa Husain.
Mustafa merupakan antara penduduk asal Kampung Kemubu yang terletak di jajahan Kuala Krai. Dia membesar, bersekolah dan menjalani seluruh kehidupannya di kampung yang terletak di pinggir Sungai Galas itu.

Dia salah seorang imam Masjid Mukim Kemubu. Ada dua orang imam di masjid itu, Imam Tua dan Imam Muda. Mustafa dilantik jadi Imam Muda sejak tahun 2008. "Tak la ‘muda’ sangat, dah 68 tahun usia saya ni", jelas Mustafa berseloroh.

Mengimbas semula cerita banjir pada tahun 2014, Mustafa mengenang kali terakhir air naik tinggi di kampung itu hampir lima dekad yang lalu pada tahun 1967.

"Masa itu kami tidak rasa takut sebab airnya naik perlahan. Siap boleh berperahu berakit dan budak-budak seronok main air. Tapi tahun lepas memang dahsyat, paling dahsyat dalam sejarah," katanya.

Air deras yang membawa kayu balak memusnahkan hampir semua rumah yang berada dekat dengan tebing sungai. Stesen kereta api KTM Kemubu hanya tinggal tapak, manakala jambatannya rosak teruk apabila kerangka besi seberat beratus-ratus tan hanyut dan tersadai kira-kira 30 meter dari tempat asalnya.

Ketika itu, seluruh penduduk semuanya menyelamatkan diri ke puncak bukit di pinggir kampung. Mereka tidak dapat ke mana-mana kerana air menenggelamkan semua laluan jalan raya. Pekan terdekat kira-kira 17 kilometer jauhnya dan perahu juga terhad.
Selesai solat Maghrib, ada yang beransur pulang dan tidak kurang juga yang masih bersanggar di masjid, berbual sementara menunggu waktu Isyak.

Selama hampir dua minggu, mereka bermalam di situ tanpa tempat berteduh yang sempurna, jauh sekali ada bekalan elektrik dan air yang bersih. Siang ditikam terik mentari, malam pula menggigil kesejukan, apatah lagi kalau hujan. Ruang lapang di atas bukit itu pula agak sempit dan dikelilingi pokok-pokok besar.
"Rasanya sebab itulah kesannya, traumanya tak hilang sampai hari ini," jelas Mustafa.

Namun sebagai salah seorang pemimpin dan orang lama di kampung tersebut, dia bertanggungjawab menjadi penggerak kepada seluruh penduduk supaya dapat bangkit dan berusaha memulakan kehidupan baru.

Dia amat berterima kasih atas segala macam bantuan yang datang ke kampung itu sesudah surutnya banjir kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapi. Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa keseorangan.

Selain bantuan berbentuk material, sukarelawan dan agensi yang datang juga memberikan khidmat kaunseling dan ceramah kerohanian supaya penduduk kampung tidak berterusan bersedih dan murung atas segala kemusnahan dan kerugian yang terpaksa mereka tanggung.

"Apabila tugas mereka sudah selesai dan tidak lagi datang ke kampung ini, saya dan rakan-rakan pemimpin kampung yang lain teruskan usaha itu.

"Selalu saya ingatkan jemaah dalam tazkirah selepas solat supaya sentiasa muhasabah diri dan kembali kepada Allah. Kita perlu renung kembali setiap tingkah laku kita, sama ada menuju jalan yang diredhai-Nya atau tidak. Dia takkan turunkan musibah yang tidak mampu ditangani oleh hamba-Nya," jelas Mustafa.

Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, masjid itu mendirikan solat hajat menolak bala seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Setidak-tidaknya ia mampu untuk kembali menyatukan hati-hati yang telah menjauh.

Tetapi Mustafa selalu ingat bahawa usaha tidak cukup dengan hanya berdoa. Katanya, manusia perlu terus berusaha bagi memastikan perkara buruk tidak berulang.
"Allah berfirman, nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah melainkan
dengan tangan mereka sendiri. Doa itu perlu disusuli usaha berterusan," katanya.

Tiada siapa yang menduga betapa dahsyatnya banjir musim tengkujuh tahun 2014. Ekoran itu, Mustafa bersama rakan-rakan lain sepakat untuk membuat persediaan yang lebih rapi. Dia tidak mahu penduduk kampung yang dicintainya menderita lagi.

Mereka merancang untuk melapangkan kawasan atas bukit di mana mereka berkumpul apabila air naik tahun lepas. Selain itu, tempat teduh berbumbung yang dilengkapi lampu juga akan dibina dengan wang daripada tabung kampung.

"Kami nak panggil kontraktor untuk tebang pokok atas bukit itu supaya luas dan lebih selesa. Minggu depan kami akan panggil. Kena buat awal.

Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, masjid itu mendirikan solat hajat menolak bala seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Setidak-tidaknya ia mampu untuk kembali menyatukan hati-hati yang telah menjauh.

"Macam tahun lepas, anggota penyelamat susah nak buat kerja sebab tiada ruang. Ruang untuk tempatkan penduduk pun tak cukup, inikan pula nak buat mendarat helikopter. Sudahnya mereka hanya hantar barang dari udara. Nak bawa wakil kampung ke luar untuk bantuan lanjut tak dapat," katanya.

Mustafa bersyukur musibah tahun lepas membuka matanya dan seluruh penduduk kampung untuk sentiasa berjaga-jaga dan bersedia dengan segala kemungkinan. Dia percaya musibah maha dahsyat tidak akan berulang berturut-turut.

"Tapi ada juga dengar, katanya yang mendatang ini dua kali ganda lagi besar. Tak tahulah, itu kerja Allah subhanahuwata’ala. Kita sebagai manusia ni bersedia saja, usaha saja. Selebihnya kita berserah."

Jam dinding masjid berbunyi, menandakan masuk waktu Isyak.

Mustafa bangkit mengambil tempatnya untuk memimpin solat yang disertai oleh sebahagian besar jemaah yang hadir dari Maghrib tadi. Ada juga yang sudah pulang ke rumah, tetapi tidak ramai. Daripada tiga saf penuh, jadi dua setengah saf.

Solat Isyak malam itu disusuli solat hajat dan doa minta dijauhkan bala. Sambil berdoa, Mustafa memejamkan matanya. Setiap kalimat yang dia lafazkan dihayatinya dengan sepenuh jiwa sambil berharap doanya bersama jemaah lain didengar dan diterima oleh Yang Maha Esa.

Selesai semuanya, jemaah membentuk barisan dan bersalaman sambil berselawat. Lampu masjid ditutup dan mereka beransur membawa diri ke rumah masing-masing. Kampung itu kembali sunyi.