Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat memastikan bangunan berciri kolonial berkenaan tidak terus dilupakan.
"Carcosa Seri Negara perlu dipulihara sebagai bangunan mercu tanda warisan negara untuk generasi muda, jadi kami di Pemenang berpendapat ia harus dijadikan pusat penyelidikan dan penyimpanan maklumat serta galeri khas menyimpan sejarah kesemua Perdana Menteri Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas mengenai keadaan terkini bangunan itu yang terbiar kosong dimamah usia.
Mohd Yussof turut meminta supaya Carcosa Seri Negara tidak dijual atau diswastakan kerana ia memiliki nilai-nilai sejarah negara.
Carcosa Seri Negara bukan sekadar kediaman rasmi Residen Jeneral British yang pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, malah ia juga venue yang merintis laluan bagi menuntut kemerdekaan negara.
Bangunan Seri Negara menyimpan peristiwa sejarah dengan dokumen-dokumen mengenai pembentukan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di lokasi itu pada 1948. - BERNAMA