Beliau berkata Kementerian Pendidikan sentiasa memperjuangkan kebajikan pelajar tingkatan enam bagi memastikan mereka mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.
"Peruntukan ini akan kita bentangkan dalam Belanjawan 2025. Dapat atau tidak, kami akan fight untuk anak-anak semua. Selain itu, kami sedang melihat perkara lain contohnya peluasan Biasiswa Persekutuan.
"Kalau sebelum ini ia hanya untuk (golongan) miskin tegar, kita mohon agar ia diperluaskan lagi kepada peringkat lain supaya dapat (dinikmati oleh) anak-anak lebih ramai," katanya ketika sesi soal jawab bersama komuniti setempat pada Program Inspirasi Malaysia (IM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Fadhlina berkata pihaknya sedang memperinci cadangan menyediakan elaun itu, yang merupakan antara usaha penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam di negara ini, selain memastikan kualitinya diperluas dan dipertingkat.
Program IM yang julung kali diadakan adalah platform untuk komuniti setempat menghadiri sesi soal jawab bersama menteri selain memberi peluang kepada masyarakat mengenali kementerian yang terlibat menerusi pendekatan lebih santai.
-- BERNAMA