Pegawai Turus D10 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah DSP Nor Rafidah Kasim berkata pada 10.10 pagi, pasukan siasatan yang diketuai beliau menjalankan pemeriksaan di bilik asrama 7 Resak yang dihuni Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan yang ditemukan mati pada 22 Mac.
"Hasil pemeriksaan di bilik asrama 7 Resak mendapati terdapat beberapa kesan darah di lantai serta tilam Mohamad Nazmie Aizzat," katanya dalam keterangan saksi pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol hari ini.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Nor Rafidah berkata hasil pemeriksaan di bilik asrama 5 Belian juga menemukan beberapa kesan darah di lantai bilik asrama, dan turut ditemukan sehelai baju lengan panjang tanpa kolar dalam baldi serta sehelai selimut di atas tilam yang terdapat kesan darah.
Pemeriksaan terakhir di bilik asrama 7 Belian iaitu lokasi Mohamad Nazmie Aizzat dijumpai maut turut menemukan kesan dipercayai darah di atas tilam tempat mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.
Untuk soalan Peguam Mohamaed Zairi Zainal Abidin, Nor Rafidah bersetuju penemuan kesan darah tersebut adalah hasil pemeriksaan melalui mata kasar.
Bagaimanapun, Nor Rafidah tidak bersetuju pada soalan peguam bahawa pasukan siasatan tidak melakukan pemeriksaan menggunakan poly light untuk mengesan kesan-kesan darah yang terdapat di kawasan bilik asrama 5 Belian.
Selain itu, saksi bersetuju pada soalan peguam bahawa sekiranya kesan darah hanya dilap menggunakan baju, kesan itu masih boleh dilihat menggunakan poly light.
Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Nor Rafidah berkata laporan yang disediakan untuk siasatan adalah berkenaan apa yang ditemukan pasukannya di tempat kejadian dan pasukan telah menemukan kesan darah pada pandangan mata kasar.
"Alat tersebut (poly light) kami gunakan apabila terlihat kesan darah cara mata kasar, dan alat itu juga digunakan untuk memastikan ia (darah) manusia atau bukan," katanya.
Pendakwaan turut dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao serta Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan bersambung Isnin depan.
-- BERNAMA