Masyarakat Melayu dan bumiputera kini dilihat lebih giat melibatkan diri dalam dunia pelaburan ekuiti, kata anggota parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ini berikutan peningkatan pendapatan mereka tahun demi tahun yang membolehkan mereka mempunyai lebihan wang untuk membuat pelaburan, kata beliau.

Shahrir berkata, mengikut perkiraan cara kampung, di Johor Baharu saja masjid-masjid menyaksikan kutipan wang pada hari Jumaat yang telah meningkat tiga kali (lebih besar) dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata demikian semasa temubual secara langsung bersama Bernama Radio 24 menerusi saluran Johor FM 107.5 di tapak Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Menurutnya, masyarakat Melayu dan bumiputera telah lama didedah kepada pelaburan amanah saham seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) tetapi masih belum mempunyai kefahaman mendalam mengenai pelaburan secara langsung dalam ekuiti-ekuiti syarikat.

Oleh yang demikian katanya, ekspo yang diadakan itu dapat meningkatkan maklumat dan pengetahuan mereka di bidang pelaburan tersebut.

"Ini penting kerana di dalam pengurusan kewangan kita harus mempunyai maklumat dan mengetahui apa yang kita lakukan daripada kita memilih dengan hanya mendengar khabar angin," katanya.

Ekspo tiga hari itu yang bermula semalam disertai 76 syarikat termasuk syarikat berdaftar di Bursa Malaysia, syarikat amanah saham, broker saham, syarikat francais, remisier dan badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia dan Majlis Belia Felda Malaysia.