KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak, terutama penganjur dan peminat sukan badminton, berikutan insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena semalam.

Insiden tersebut mengganggu perjalanan Badminton Terbuka Malaysia yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Menurut kenyataan PSM, kebocoran itu berpunca daripada proses penggantian bumbung lama yang telah digunakan sejak 1998.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, projek penggantian bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula pada pertengahan 2024 dan dijangka selesai dalam tempoh setahun dan sepanjang tempoh ini, Axiata Arena tetap dibuka untuk acara.

"Kebocoran berlaku akibat titisan air hujan yang terkena gelanggang, PSM bersama kontraktor bertindak pantas dengan mengalihkan air dan memastikan gelanggang boleh digunakan semula pada jam 8malam.

"Usaha tambahan dilakukan untuk mengelakkan masalah sama berulang pada hari berikutnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Iliyas berkata, bagi memastikan kejadian ini tidak berulang, lebih 10 kakitangan akan ditugaskan di bahagian bumbung sepanjang kejohanan berlangsung.

Selain itu katanya, JKR dan kontraktor terus menjalankan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan.

"Kawasan bermasalah telah dikenal pasti dan tindakan segera diambil untuk mengatasinya.

"PSM turut mengadakan mesyuarat dengan JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 bagi menegaskan kepentingan memastikan acara tidak terganggu dan pihak kontraktor memberi jaminan bahawa langkah-langkah sewajarnya telah dan akan diambil untuk menangani isu ini, "ujarnya.