KUALA LUMPUR: Kematian seorang wanita warga emas yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di sini pada 12 Sept lepas adalah kerana positif COVID-19, kata Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh.

Beliau berkata wanita berusia 78 tahun itu disahkan positif COVID-19 pada 6 Sept lepas iaitu hari keenam selepas wanita itu menerima dos kedua vaksin COVID-19 pada 1 Sept, manakala dos pertama pada 8 Jun.

Berikutan positif terhadap jangkitan itu, Dr Param Jeeth Singh berkata wanita itu telah dirujuk oleh Pakar Perubatan Geriatrik ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk dirawat pada 7 Sept sebelum meninggal dunia di hospital tersebut pada 12 Sept.

Beliau berkata Pakar Perubatan Geriatrik merujuk wanita itu ke HRC kerana wanita tersebut termasuk dalam golongan berisiko tinggi disebabkan umurnya telah melebihi 60 tahun selain mempunyai komorbid dan jangkitan COVID-19 kategori tiga.

"Selain wanita itu, terdapat tujuh lagi penghuni rumah jagaan itu yang dirujuk dan dimasukkan ke HRC untuk rawatan lanjut pada 7 Sept.

"Wanita itu dirawat di HRC iaitu hospital merawat COVID-19 yang dikhaskan untuk warga emas. Namun demikian, keadaan kesihatannya didapati semakin merosot akibat komplikasi jangkitan COVID-19 dan telah meninggal dunia pada 12 Sept," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai merujuk video tular menerusi media sosial berhubung kematian wanita berkenaan yang dipercayai dirakam anak wanita itu dengan mendakwa ia akibat kesan sampingan selepas menerima dos kedua vaksinasi COVID-19.

Dr Param Jeeth Singh berkata kes COVID-19 di rumah jagaan itu bermula apabila seorang daripada pekerjanya menunjukkan gejala dan ujian COVID-19 menunjukkannya positif pada 4 Sept.

Pada 5 Sept, seorang penghuni di rumah jagaan berkenaan yang berusia 87 tahun dan tiada sejarah vaksinasi COVID-19 pula meninggal dunia.

"Pejabat Kesihatan Cheras dimaklumkan perkara ini pada 6 Sept dan siasatan lanjut serta pengesanan kes telah mengenal pasti 11 kes COVID-19 dalam kalangan penghuni dengan tiga orang daripadanya tidak pernah menerima vaksin COVID-19 manakala empat kes dalam kalangan pekerja.

"Kluster yang diisytihar pada 10 Sept ini melaporkan dua kematian dalam kalangan penghuninya iaitu seorang warga emas yang tidak menerima vaksin COVID-19 dan seorang lagi adalah wanita itu," katanya.

-- BERNAMA