LANGKAWI: Kerajaan disarankan untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sempadan negara 1 April depan dengan menyenaraikan negara-negara yang kurang berisiko dan selamat untuk memasuki Malaysia.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pembukaan sempadan negara juga harus dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan kes penularan COVID-19 di negara ini menjadi semakin teruk.

"Kita boleh buat (perlaksanaan pembukaan sempadan negara), banyak negara sudah buka sempadan mereka, tetapi kita mesti berhati-hati tidak boleh buat seolah-olah tiada apa masalah (kesihatan yang berlaku).

"Kita perlu tentukan negara yang boleh dibenarkan (masuk) dahulu, (ianya perlu melibatkan) negara mana yang agak disiplin mengikut peraturan, kita boleh buka negara untuk negara itu dan semakin lama semakin banyak negara kita tambah (dalam senarai) dan benarkan (rakyat mereka) masuk dalam Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Lang Agro Park sempena Program #PulangKeLangkawi pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap agar rakyat Malaysia untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan meskipun akan memasuki fasa peralihan endemik awal bulan depan.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang medianya di Parlimen mengumumkan sempadan negara akan dibuka bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Perdana Menteri menambah, kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan SOP pembukaan sempadan negara secara terperinci dalam masa terdekat.