GOMBAK: Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera meninggal dunia di sebuah sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada Sabtu.

Susulan itu, polis memberkas pasangan suami isteri yang juga ayah tiri dan ibu kandung mangsa untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kematian mangsa kira-kira jam 3.27 petang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu perubatan Hospital Sungai Buloh.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan pasangan suami isteri kira-kira jam 9 malam hari yang sama dekat sebuah pangsapuri di sini.

"Semakan dijalankan mendapati suspek lelaki berumur 29 tahun merupakan ayah tiri kepada mangsa manakala suspek wanita berumur 28 tahun adalah ibu kandung mangsa.

"Kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pembuat ais krim," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan turut mendapati mangsa merupakan pelajar darjah dua di sebuah sekolah itu tidak hadir bagi sesi persekolahan sejak Jun 2024.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian