JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih ditahan berhubung kes pembuangan bayi dalam parit di kawasan Kampung Melayu Pandan, di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Seri Alam, Deputi Superintendan Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi perempuan itu sekitar jam 11.50 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, pihak polis menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Poli̇s Daerah (IPD) Seri̇ Alam berjaya menahan dua suspek yang disyaki ibu dan bapa kepada bayi terbabit dalam tempoh kurang dua jam kemudian.

"Pihak poli̇s mengesahkan telah menerima maklumat berkenaan penemuan mayat bayi yang baru lahir itu daripada orang awam.

"Dalam pada itu, pihak poli̇s turut mengesan satu rakaman vi̇deo penemuan mayat bayi di dalam pari̇t berdurasi 38 saat. Sejurus itu, dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Tangkapan terhadap suspek lelaki berusia 28 tahun dan suspek wanita, 27 tahun itu dibuat di kawasan Kampung Melayu Pandan sekitar jam 1.00 petang hingga 1.30 petang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut Mohd Roslan, kedua-dua suspek merupakan pekerja kilang dan dipercayai ibu bapa kandung kepada anak berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Manakala mayat bayi telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk bedah siasat," jelasnya.

Tambah beliau, menerusi tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas dua helai pakaian yang mempunyai keşan tompokan disyaki darah

Selain itu, sejumlah 42 pil ubat pelbagai jenis beserta dua buah telefon bimbit turut dirampas.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan jika sabi̇t kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," jelasnya lagi.

Menurut beliau, kedua-dua suspek sedang ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga Khamis.