Bomba menemukan mayat seorang lelaki yang tersangkut pada kayu di kawasan perkelahan Batu Bersusun di Sungai Balung dekat sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.41 petang berhubung seorang lelaki dikhuatiri lemas di sungai tersebut selepas berjaya menyelamatkan anaknya dari dihanyutkan arus deras.

"Tujuh anggota tiba di lokasi bersama jentera EMRS dan operasi dimulakan dengan membuat 'surface water rescue' dengan anggaran kedalaman sungai adalah 30 meter," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sharudy berkata mangsa Rony Alberto, 34, kemudian ditemukan penyelam bomba serta penduduk kampung yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

"Mangsa ditemui pada pukul 5.06 petang dan sukar untuk ditarik ke daratan ekoran arus deras," katanya operasi itu tamat sejam kemudian.

-- BERNAMA