KUALA LUMPUR: BMI yang juga unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran pertumbuhan perbelanjaan kesihatan Malaysia kepada 8.7 peratus setahun bagi tempoh 2023 hingga 2028, berbanding unjuran awal pada 8.3 peratus.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, firma penyelidikan itu berkata langkah berkenaan susulan peningkatan peruntukan penjagaan kesihatan dalam Belanjawan 2025 selain peningkatan permintaan terhadap bidang itu di peringkat tempatan serta daripada pelancong asing.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM45.3 bilion bagi penjagaan kesihatan yang mewakili peningkatan sebanyak 10 peratus daripada RM41.2 bilion pada 2024.

Penjagaan kesihatan juga menerima peruntukan kedua terbesar selepas pendidikan.

BMI berkata hospital swasta juga dijangka menyaksikan peningkatan permintaan menerusi usaha kerjasama awam-swasta serta penghapusan subsidi untuk individu berpendapatan tinggi.

"Dalam belanjawan itu, kerajaan turut mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi tujuan penyumberan luar perkhidmatan kesihatan umum termasuk kardiologi, radiologi dan nefrologi," katanya.

KKM juga mengesahkan perancangan untuk meneruskan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi pesara kerajaan berusia 65 tahun dan ke atas.

BMI turut mengetengahkan cabaran hospital awam yang sedang berdepan peningkatan permintaan bagi pembedahan, termasuk senarai menunggu Hospital Pulau Pinang yang mencecah 850 pesakit bagi pembedahan jantung manakala Hospital Sultan Idris Shah di Selangor melibatkan 1,000 pesakit menunggu bagi pembedahan sama setakat Julai 2024.

Permintaan terhadap penjagaan itu, selain kekurangan pekerja hanya membuktikan kepentingan ketara membabitkan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta di negara ini, katanya.

"Sistem penjagaan kesihatan awam akan terus berdepan tekanan sejajar dengan faktor peningkatan usia penduduk serta kekurangan pekerja.

"Ini memerlukan kerjasama sektor awam dan swasta untuk meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan kemampuan serta prasarana hospital swasta bagi membantu menghasilkan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta mengurangkan tempoh menunggu," katanya.

Seiring langkah kerajaan memperkenalkan dasar mendapatkan pemerolehan produk farmaseutikal dan peranti perubatan yang penting dalam membantu industri tempatan, BMI berkata Malaysia akan terus meningkatkan kemampuan mempunyai produk kesihatan dengan melaksanakan dasar yang mengutamakan pengeluaran di peringkat domestik.

"Malaysia akan meningkatkan pengeluaran produk perubatan di peringkat domestik menerusi dasar-dasar sokongan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang bertujuan melonjakkan sektor pembuatan negara, termasuk industri peranti perubatan.

"Pelan itu akan terus menumpukan usaha membangunkan produk yang lebih maju dari segi teknologi dalam usaha membina industri peranti perubatan yang mampan serta berdaya saing di peringkat global.

"Ini termasuk produk diagnostik seperti mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) dan diagnostik in-vitro selain implan ortopedik dan pergigian," katanya.

-- BERNAMA