PUTRAJAYA: Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.72 juta orang pada Oktober lepas daripada 16.69 juta orang direkodkan pada September, menurut Statistik Tenaga Buruh Oktober 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada masa sama, bilangan penganggur terus berkurang kepada 551,400 orang berbanding 555,300 orang pada bulan sebelumnya, merekodkan penurunan sebanyak 0.7 peratus.

"Kadar pengangguran tidak berubah pada Oktober 2024 iaitu pada 3.2 peratus, sama seperti bulan sebelumnya dan kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2024 kekal pada 70.5 peratus seperti yang direkodkan pada bulan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja dengan kumpulan terbabit mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus, mencecah kepada 12.53 juta orang, berbanding 12.51 juta orang pada bulan sebelumnya.

"Begitu juga, penduduk bekerja sendiri berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.10 juta orang (September 2024: 3.09 juta orang)," katanya.

Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meliputi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.

Kategori berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus kepada 440,000 orang (September 2024: 443,500 orang). 

"Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sebanyak 0.4 peratus, mencatatkan 111,400 orang (September 2024: 111,800 orang)," katanya. 

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 peratus kepada 10.4 peratus pada Oktober 2024, merekodkan 301,500 penganggur belia (September 2024: 10.5 peratus; 304,200 orang).

Beliau berkata bagaimanapun kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah iaitu pada 6.3 peratus, dengan 420,200 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (September 2024: 6.3 peratus; 420,100 orang).

-- BERNAMA