Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen selaku plaintif memfailkan saman itu pada 20 Nov 2020, terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan atas dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Verstappen, 60, berkata pada pengurusan kes hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mengekalkan tarikh perbicaraan selama 18 hari iaitu pada 14 hingga 16; 21 hingga 23; dan 28 hingga 30 Okt serta 4 hingga 6; 11 hingga 13; dan 18 hingga 20 Nov 2024.
"Pihak kami memfailkan dokumen-dokumen berkaitan kes ini dan bersedia untuk menjalankan perbicaraan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 28 Ogos ini," katanya ketika dihubungi pemberita.
Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman plaintif atas alasan penyataan tuntutan tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan selepas mengemukakan rayuan, Mahkamah Rayuan mengembalikan saman itu.
Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Pada 7 Dis 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman difailkan plaintif atas alasan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner pada 18 Mac 2019, memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 22 Nov 2019 Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali' dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan.
-- BERNAMA