JERTIH: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat menjadikan daerah Besut sebagai hab penanaman bawang merah di Terengganu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata usaha itu akan dapat direalisasikan menerusi projek perintis dengan kerjasama Politeknik Besut di Bukit Keluang di sini.

"Politeknik Besut bukan sahaja menjadi perintis tanaman bawang merah berskala besar di negeri Terengganu tetapi juga projek usaha sama yang pertama antara MARDI dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

"Pada peringkat awal ini bawang merah varieti BAW-1 yang dihasilkan oleh MARDI akan ditanam dalam masa terdekat di tanah seluas 0.16 hektar milik Politeknik Besut," katanya kepada Bernama sempena lawatan kerja di tapak projek tanaman bawang merah di Politeknik Besut di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kamaludin Daud, Pengarah Politeknik Besut Udom Ewon dan Pengarah MARDI Terengganu Khadijah Awang.

Beliau berkata MARDI merancang memperluas kawasan projek tanaman bawang di politeknik berkenaan kepada tiga hektar pada akhir tahun ini memandangkan Politeknik Besut memiliki tanah yang sesuai dan belum diusahakan seluas 14 hektar.

"Projek tanaman ini juga akan melibatkan komuniti setempat dan dengan penanaman berskala besar nanti dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan bawang dalam negara sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Udom berkata pada pusingan pertama tanaman akan diusahakan oleh kakitangan dan pelajar Politeknik Besut manakala untuk pusingan kedua nanti melibatkan komuniti setempat.

"Komuniti terlibat akan ditempatkan bersama kumpulan pelajar. Mereka akan diberi plot tanaman bawang merah ini dan apabila benih sudah banyak ia akan dibekalkan untuk diusahakan sepenuhnya oleh komuniti sekitar di tanah masing-masing," katanya.

-- BERNAMA