KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik konsep "Keluarga Malaysia" yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Bersatu menyifatkan pendekatan itu amat bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia, yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

Bekas Perdana Menteri itu juga yakin barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik mampu mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara berjalan lancar dan inklusif.

Menghayati tema Hari Kebangsaan 2021 – Malaysia Prihatin, Muhyiddin berkata Bersatu berazam dan bertekad untuk memperkasa amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat.

“Terutamanya membantu rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Oleh yang demikian Bersatu menyeru kepada semua pihak untuk mengetepikan segala perbezaan yang ada dan seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat,” kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

 
Sumber Facebook pribumibersatuofficial

Muhyiddin berkata, usaha yang berterusan perlu untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin atau pemacu kepada kemajuan negara di masa hadapan.

Jelas beliau lagi, ia termasuk segala aspek seperti ekonomi, pendidikan, dan sosial.