KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) hari ini memberi respon terhadap kenyataan yang dibuat Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai cadangan import beras dari Pakistan.

Menerusi satu kenyataan, BERNAS berkata Pakistan adalah salah satu negara utama pembekal beras import kepada BERNAS sejak sekian lama, selain Thailand, Vietnam dan India.

"BERNAS juga ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan di antara BERNAS dan Syed Abu Hussin berhubung cadangan tersebut seperti yang dipetik media.

"Namun, BERNAS sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasa agenda keterjaminan makanan negara.

"Bernas menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk BERNAS untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara," memetik kenyataan tersebut.

Memetik laporan Bernama, Syed Abu Hussin mencadangkan agar Malaysia mengimport beras putih dari Pakistan sebagai kaedah yang berpotensi bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.

Katanya, cadangan itu telah disuarakan kepada BERNAS selaku pengimport tunggal beras di negara ini.

Susulan itu, BERNAS dalam kenyataan media sama memberi jaminan bahawa bekalan dan harga Beras Putih Import (BPI) adalah terkawal dan mencukupi bagi keperluan rakyat negara ini.

Malah, pihaknya sentiasa memastikan harga BPI di Malaysia kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia.

"Setakat ini, Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras. Stok BPI sentiasa mencukupi bagi keperluan negara.

"Sejak sekian lama, BERNAS telah memastikan ketersediaan bekalan beras secara berterusan tanpa sebarang gangguan," menurut kenyataan itu.

Menurut agensi itu, BERNAS juga telah sekali lagi melaksanakan penurunan harga BPI di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuatkuasa 1 Disember 2024.

Pada Mac 2024, BERNAS menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia, walaupun pada masa itu trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.

Sehubungan itu, BERNAS berkata ia akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara.