PUTRAJAYA: Belia diseru untuk terlibat secara aktif dalam sektor koperasi kerana ia menawarkan potensi besar buat golongan itu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan.


Ringkasan AI
  • Belia didorong untuk aktif dalam koperasi kerana sektor ini menawarkan peluang besar di Malaysia, dengan ribuan koperasi dan jutaan ahli.
  • UKKM membantu belia memahami manfaat terlibat dalam koperasi melalui latihan dan taklimat, memperkasa sektor koperasi.
  • ICC 2024 memungkinkan pihak dari pelbagai negara berbincang untuk memajukan koperasi, dengan fokus pada kerjasama dan peningkatan sektor koperasi.


Beliau berkata menerusi sektor koperasi, belia akan dapat memperkukuh 'rangkaian kerja' dalam pelbagai bidang diceburi, selain membuka hubungan mereka dengan negara luar, dan Malaysia ketika ini mempunyai 15,809 koperasi berdaftar dengan keahlian 7.2 juta orang.

"(Penglibatan dalam koperasi) beri kita (belia) kelebihan kerana kita dapat networking dan persahabatan dari semua ahli koperasi," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024) di sini pada Rabu.

Ramanan berkata pengenalan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di bawah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) membolehkan belia untuk mengetahui kelebihan menyertai sektor koperasi.

"Kita perlu pastikan belia sedia ada menceburi bidang koperasi... mereka perlu dapat latihan atau taklimat berkaitan manfaat sekiranya mereka berada dalam koperasi," katanya dan menambah, penglibatan belia akan memperkasa koperasi di negara ini.

Mengenai ICC 2024, Ramanan berkata persidangan ini membuka ruang untuk semua pihak mengemukakan idea dan pandangan yang boleh memacu perkembangan koperasi.

"ICC 2024 buka ruang bekerjasama dengan rapat antara negara dan cara naik taraf koperasi dari sudut cara kerja," katanya.

ICC 2024 anjuran IKMa dihadiri 178 perwakilan daripada pelbagai negara antaranya Korea, Thailand, Filipina, Australia, Brunei, Indonesia dan India.

IKMa merupakan sebuah institusi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ditugaskan memajukan sektor koperasi melalui latihan, penyelidikan dan pembangunan.

-- BERNAMA