Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Nazri berkata, acara ini merupakan kejohanan kali kedua dianjurkan NGO tersebut.
Menurutnya, program amal itu bertujuan memberi peluang kepada golongan belia memerlukan antaranya bekas banduan, bekas penagih dadah atau individu masih belum mendapat pekerjaan.
"Ini tahun kedua dan ada rancangan untuk tahun ketiga. Tahun lalu (2023) kami berjaya kumpulkan sehingga RM800,000 dan Alhamdulillah kali ini mencecah RM1.2 juta.
"Kami sasarkan 200 lagi golongan belia yang datang daripada pelbagai latar belakang supaya kami dapat bantu mereka dapatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita ketika majlis perasmian kejohanan terbabit pada Sabtu.
Tambahnya, usaha ini antara langkah mendapatkan dana bagi badan bukan kerajaan (NGO) itu yang di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
Kejohanan kali ini bukan sahaja meraikan sukan golf tetapi juga dapat mengeratkan lagi perpaduan sesama komuniti belia secara kolektif.
Para peserta kejohanan golf amal dari semua peringkat kemahiran juga berkumpul bagi menyokong Program TEAM Malaysia yang dilaksanakan di bawah SAY.
Inisiatif dengan kerjasama The King's Trust International, NGO di bawah naungan Raja Charles III turut mendedikasi mengubah kehidupan belia Malaysia yang berisiko.
Dengan 132 peserta daripada syarikat kerajaan dan swasta memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan dan pembangunan Program TEAM Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit memberitahu, acara ini bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan tetapi juga menggariskan kepentingan kritikal kedermawanan dan tanggungjawab sosial.
"Setiap hayunan dan pukulan yang direkodkan hari ini menyumbang kepada usaha murni memperkasakan belia yang kurang bernasib baik di Malaysia melalui Program TEAM Malaysia," katanya.